Thursday 8 February 2018

Usah biar mereka bersendirian bersih gunung



Gunung penuh sampah-sarap, baik puncak gunung (G.Irau, G. Nuang, G.YongBelar), kemsite berlonggok sampah (Kem Lolo, Kem Kasut, Kem Seroja), pusat rekreasi alam dan hutan lipur juga penuh sampah (Hutan Lipur Teluk Bahang, Air Terjun Berkelah, Air Terjun Sg.Pisang), tempat-tempat ini sekadar contoh dan kalau nak disenaraikan banyak lagi.

Ada sampah, buat program pembersihan gunung, pembersihan tempat rekreasi sampah akan lenyap. SEMENTARA sahaja. Sampai bila hal ini perlu berlaku. Sampah menyebabkan ketidakharmonian alam dan masyarakat. Bukan sahaja alam tak indah dan bersih. Wujud pula suasana tak harmoni dikalangan segelintir manusia. Yang tak pernah mendaki ke puncak G7 mendakwa pendaki G7 yang buang sampah. Yang tak pernah mendaki ke luar negara, mendakwa pendaki yang ke luar negara yang buang sampah, yang rasa dia pendaki mendakwa pendaki pelancong yang buang sampah. Segelintir yang rasa dia hebat, menempelak mereka yang tak bersama dengan kerja amal mereka. Hebat pendakwa tak kemana. 

Usah biarkan mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan gunung, bukit dan alam ini sendirian. Usaha-usaha mereka ini yang kini makin banyak kumpulan membuat kerja-kerja amal ini boleh dikatakan masih bersendirian. Negara Malaysia, Filipina dan Indonesia antara yang masih parah dalam hal sampah di gunung. Negara-negara maju pula lebih terawat dari sampah seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand. Taman negara di Nepal pula boleh dikatakan terkawal dengan sampah dan najis manusia.

Sukarelawan pembersih sampah di kawasan rekreasi alam - Foto Ihsan Wee
Mempelajari bagaimana negara maju menangani isu sampah di gunung. Tiada tong sampah diletakkan di Gunung Fuji, Jepun termasuk di kawasan letak kenderaan Stesen5. Tiada papan tanda tentang sampah. Tiada sekatan terhadap pelancong gunung yang majoriti melawat dan mendaki ke puncak. Tiada pemeriksaan sampah seperti di Taman Negara Tahan. Isu sampah ditangani dalam sanubari masyarakat. Sistem pendidikan anak-anak telah dititikberaktan tentang sampah. Sistem masyarakat juga telah ditekankan tentang sampah. Siapa yang terlibat dalam hal ini. 

Usah biarkan mereka bersendirian membersih gunung. Mereka mengutip sampah sarap dengan sukarela. Mereka mengingatkan tentang sampah pada kelompok yang dah sedia jadi pendaki. Siapa perlu menyekolahkan rakyat Malaysia. Siapa pembuat dasar pendidikan. Siapa penguasa sistem kemasyarakatan. Usah biarkan kelompok sukarela pembersih gunung ini sendirian. 

Mana perginya pendaki-pendaki dan pecinta-pecinta alam yang lama? Hampir 20 tahun dulu, mereka ini antara sukarela pengutip sampah yang buat secara berkelompok. Hasilnya kini kerja yang sama diganti oleh kelompok yang baru. Mungkin juga 15 tahun lagi kelompok yang baru ini juga tidak lagi berbuat demikian bila isu sampah nampak tidak berkesudahan dan mereka bersendirian rupanya. 

Pendaki-pendaki lama yang masih aktif ada yang beralih cara membersihkan gunung. Yang dah ada platform berceramah giat menyelitkan tentang sampah dalam setiap ceramah. Yang ada kumpulan pendaki sendiri, menerapkan tentang pelaksanaan mendaki tanpa meninggalkan sampah. Yang mempunyai media dengan saluran media. Buatlah mengikut tahap masing-masing tanpa memperlekah mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti sukarelawan mengutip sampah semasa anda membuatnya. Usaha-usaha ini sebenarnya masih belum cukup. Mereka masih bersendirian. 

Puncak Gunung Trusmadi tahun 2006 penuh dengan sampah, selepas satu aktikel dan surat aduan disampaikan ke pihak perhutanan sana, kini Trusmadi sudah terawat. Ini antara tindakan awal yang boleh diambil di negara kita dengan menguatkuasakan peraturan sebelum masyarakat sampah dapat dipupuskan.

AYUH memerdekakan negara kita, alam kita dari sampah.
Tangani sampah; tiada sampah di tempat rekreasi dan rehlah kita.







0 comments:

Post a Comment